SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang staf universitinya yang dipercayai membuat hantaran media sosial berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, pihak universiti tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pelanggaran prinsip hormat-menghormati, khususnya yang melibatkan Institusi Diraja, agama, bangsa, dan kepimpinan negara.
Katanya, UiTM dimaklumkan bahawa individu terbabit kini sedang disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“UiTM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berlandaskan undang-undang.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya. UiTM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran etika, disiplin, dan perundangan dalam kalangan warga kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan polis membuka kertas siasatan ke atas pemilik akaun Facebook yang dilaporkan membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Shahrin menegaskan, UiTM mengingatkan semua warga universiti agar sentiasa bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial, mematuhi undang-undang negara serta memelihara keharmonian masyarakat dan imej institusi. – KOSMO! ONLINE