JEMPOL – Seorang guru wanita sebuah sekolah di sini, ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Taman Satelit, Bahau, pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Helmi Syazni Abd Mutalib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 10.14 pagi bagi membantu membuka kediaman yang berkunci berkenaan.
“Setibanya di lokasi terdapat terdapat seorang mangsa berusia 55 tahun di bilik tidur didapati tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Seterusnya mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi terkawal pada pukul 11 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Kosmo! difahamkan, mangsa mempunyai rekod penyakit jantung dan pernah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar mengesahkan kejadian berkenaan dan kes buat masa ini disiasat sebagai kes mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE