fbpx

Gereja di Syria dibom, 22 terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai dan anggota penyelamat memeriksa kerosakan di lokasi pengeboman di gereja Saint Elias, Damsyik semalam. - AFP

DAMSYIK – Satu insiden tembakan dan pengeboman di sebuah gereja di Damsyik semasa upacara keagamaan, telah membunuh sekurang-kurangnya 22 orang semalam, kata pihak berkuasa yang menyalahkan anggota kumpulan militan Daesh.

Masyarakat antarabangsa mengutuk serangan pertama seumpamanya di ibu negara Syria itu, sejak tentera pimpinan Islam menggulingkan rejim Bashar al-Assad pada Disember tahun lalu.

Ia juga merupakan yang pertama di dalam gereja di Syria sejak perang saudara negara itu meletus pada 2011, demikian menurut pemantau.

Wartawan AFP melaporkan, anggota kecemasan membawa keluar mangsa-mangsa dari gereja Ortodoks ketika pasukan keselamatan menutup kawasan itu.

Gereja tersebut berselerak dengan serpihan kayu daripada kelengkapan dan bangku, manakala darah berlumuran di atas lantai.

“Seorang pengebom bunuh diri yang bergabung dengan kumpulan pengganas Daesh memasuki gereja Saint Elias di kawasan Dwelaa.

“Dia melepaskan tembakan sebelum meletupkan dirinya dengan bahan letupan,” kata kenyataan Kementerian Dalam Negeri.

Agensi berita negara SANA ketika memetik Kementerian Kesihatan melaporkan angka kematian seramai 22 orang, dengan 63 cedera.

Seorang individu yang berada di dalam gereja ketika serangan berlaku, Lawrence Maamari berkata, seorang lelaki masuk ke dalam dan mula menembak. 

“Orang ramai cuba menghalangnya sebelum dia meletupkan dirinya,” tambah Maamari.

Letupan itu mencetuskan panik dan ketakutan di dalam gereja, yang ketika kejadian dipenuhi dengan penganut Kristian termasuk kanak-kanak dan warga emas, kata saksi. 

Menteri Dalam Negeri, Anas Khattab berkata, pasukan khas telah memulakan siasatan berhubung insiden tersebut. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI