fbpx

Gelaran Asia bakar semangat Liek Hou

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIEK HOU berjaya memenangi dua pingat emas pada Kejohanan Badminton Para Asia 2025 di Korat, Thailand. - IG CHEAH LIEK HOU

KUALA LUMPUR – Dua gelaran pada Kejohanan Badminton Para Asia 2025 di Korat, Thailand dianggap sebagai persiapan terbaik buat jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menjelang Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 tahun depan.

Meskipun berdepan kecederaan tumit sejak tahun lalu, namun pemain berusia 37 tahun itu menunjukkan keazaman cukup tinggi apabila masih menyertai kejohanan biarpun jumlahnya terpaksa dikurangkan.

Liek Hou berkata, dia dan seteru utama dari Indonesia, Dheva Anrimusthi mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah kejohanan tahun ini bagi memastikan kondisi mereka berada dalam keadaan terbaik.

“Dheva pun tidak banyak menyertai kejohanan sekarang kerana kami berdua mahu berikan tumpuan sepenuhnya kepada temasya Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun tahun depan.

“Sebenarnya saya mengalami kecederaan tumit sejak tahun lepas tetapi saya masih mahu terus menyertai pertandingan. Rawatan berterusan membantu saya untuk kekal di tahap tertinggi,” katanya.

Pada perlawanan akhir kelmarin, pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik itu muncul juara dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) menewaskan Dheva menerusi aksi tiga set 21-19, 15-21, 21-19.

Momentum itu diteruskan dalam acara beregu lelaki bersama Muhammad Fareez Anuar apabila mereka berjaya membenam pasangan India, Ruthick Ragupathi-Hardik Makkar dengan aksi straight set 21-14, 21-18.

Dalam perkembangan lain, jurulatih badminton para negara, Nova Armada memuji aksi Amin Burhanuddin yang meraih gelaran perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal) menewaskan Surya Kant Yadav dari India 23-21, 21-15.

“Saya kagum dengan aksi Amin. Dia sudah berusia 31 tahun tetapi saya percaya dia memiliki kemampuan untuk memenangi pingat pada Sukan Paralimpik Los Angeles (LA) 2028 sebelum bersara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI