fbpx

Baru 6 bulan jadi ‘tauke’, lelaki dicekup bersama RM6.8 juta dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMAR menunjukan serbuk yang disyaki mengandungi dadah dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Kegiatan seorang lelaki tempatan yang baru enam bulan berjinak menjalankan bisnes menjual dadah akhirnya terbongkar selepas dicekup Polis Johor dalam operasi khas yang dijalankan di Mutiara Rini di sini, 14 dan 15 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, operasi dijalankan bermula pukul 7.30 malam itu dan suspek yang diberkas itu berusia 45 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis memberkas lelaki terbabit bersama seorang wanita Vietnam berusia 34 tahun di sebuah rumah teres dua tingkat.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan menemui sejumlah 2.6 kilogram (kg) serbuk ekstasi dan 368 gram ganja serta peralatan memproses dadah.

“Kita kemudiannya dipandu arah suspek ke sebuah rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dan menahan seorang lagi wanita Vietnam berusia 23 tahun.

“Dalam serbuan kedua ini, polis merampas 38 kg serbuk ekstasi serta 1.37kg ketamin dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan ialah RM6,875,354,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kumar berkata, selain itu, turut merampas dua buah kereta, wang tunai RM57,985 serta pelbagai barang kemas dan jumlah keseluruhan sitaan ialah RM265,615.

Beliau menambah, modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah dengan menjadikan rumah sewa sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Rumah pertama yang kita serbu ini disewa suspek sejak April tahun lalu dan dijadikan sebagai tempat memproses serta membungkus dadah. Suspek sendiri bancuh dadah dan bungkus menggunakan paket kecil jus minuman dan teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dadah yang siap dibungkus pula akan disimpan di rumah kedua yang dipercayai disewa sejak Mei lalu sebelum diedarkan ke pengguna,” katanya.

Kumar berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamin, manakala dua wanita warga asing masing-masing positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepines.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 26 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua wanita Vietnam tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI