KUCHING – Jenazah isteri Premier Sarawak, Allahyarham Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang tiba di Masjid Jamek, Petra Jaya untuk diberi penghormatan terakhir sebelum disemadikan.
Kenderaan khas yang membawa jenazah tiba di masjid itu pada pukul 10.15 pagi tadi, dengan keranda yang membawa jenazah kemudiannya diusung oleh pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditempatkan di pentas khas di tengah-tengah ruang solat masjid tersebut untuk membolehkan orang kenamaan dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah dibawa dari kediaman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Petra Jaya, yang terletak kira-kira satu kilometer dengan Masjid Jamek.
Sejurus selesai diberi penghormatan terakhir, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.
Selain ahli keluarga dan saudara-mara Allahyarham, menteri-menteri Kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri termasuk tokoh korporat, pemimpin persatuan, badan bukan kerajaan dan rakyat pelbagai lapisan turut kelihatan berada di Masjid Jamek.

Antaranya Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Selain itu mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Manta Ata serta ADUN Padungan, Chong Chieng Jen dan ADUN Pending, Violet Yong.
Allahyarham Juma’ani menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Pusat Perubatan Normah di sini pada pukul 3.34 pagi tadi.
Allahyarham yang merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua, Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman meninggalkan seorang anak lelaki Abang Abdillah Izzarim, 45, dan anak perempuan Dayang Norjihan, 43. – KOSMO! ONLINE