PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka memanggil pihak pengurusan sebuah akhbar tempatan dalam masa terdekat susulan kesilapan infografik Ketua Polis Negara (KPN) yang mencetuskan kekeliruan kepada orang ramai baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan melihat isu berkenaan dalam setiap sudut terutama daripada aspek undang-undang.
“Kalau perlu kami panggil untuk minta mereka memberikan penjelasan dan menyampaikan kepada mereka bahawa kesan pelaporan secara bohong itu.
“Tindakan itu telah memberikan implikasi yang besar dan kita akan tengok semua sudut.
“Kalau itu (memanggil akhbar berkenaan) kami buat jangan pula kerajaan ini dilihat sebagai kerajaan yang tidak menghormati kebebasan media itu,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan sebuah akhbar tempatan yang menerbitkan infografik yang mengaitkan penyertaan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam parti politik sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Katanya, pihaknya melahirkan kekesalan yang amat sangat diatas kecuaian yang telah dilakukan oleh akhbar berkenaan.
Saifuddin berkata, beliau juga mengangggap kesalahan itu sebagai serius kerana ia mengaitkan seorang penjawat awam tertinggi dalam sebuah organisasi penguatkuasaan terbesar dalam negara. – KOSMO! ONLINE