PETALING JAYA – Tindakan seorang pempengaruh wanita yang didakwa berkongsi ‘hal dalam kain’ rumah tangganya berkaitan jangkitan herpes bukan sahaja dikecam orang ramai, bahkan turut ‘disekolahkan’ oleh pengamal perubatan.
Menerusi hantaran Facebook pengamal perubatan, Dr. Ahmad Samhan, beliau menerangkan punca jangkitan tersebut yang mana ia tidak hanya disebabkan oleh pasangan lelaki semata-mata.
“Bunyi pelik, tapi jangan cepat salahkan pasangan. Jangkitan ni boleh datang daripada banyak punca.
“Bila bibir naik gelembung kecil, pedih, rasa panas ramai fikir itu ulser. Tapi kalau berulang, ada kemungkinan ia herpes mulut (HSV-1).
“Ada yang datang mengadu, ‘lepas saya buat oral sex, bibir saya terus melepuh, suami saya punya bau pelik’. Ya, seks oral boleh jadi punca jangkitan, tapi penting untuk kita faham, herpes bukan semata-mata datang daripada lelaki,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, virus tersebut sangat mudah berjangkit dan ramai orang tidak sedar bahawa mereka telah membawa virus itu sejak kecil.
“Kadang-kadang ia dijangkiti masa kecil daripada ciuman ahli keluarga, berkongsi sudu, atau tuala.
“Virus tu ‘tidur’ dalam badan dan boleh aktif balik bila sistem imun lemah, contoh stres, demam, haid,” ujarnya.
Katanya, virus itu boleh merebak melalui ciuman walaupun tiada luka dilihat, selain melakukan seks oral dengan pasangan dijangkiti.
“Seterusnya, menggunakan barang peribadi orang lain atau berkongsi barang (lip balm, sudu, straw). Sentuhan tangan daripada kawasan dijangkiti ke mulut sendiri.
“Tanda-tanda herpes mulut ialah gelembung kecil di bibir, rasa gatal, panas, pedih serta demam ringan, tak larat,” ujarnya.
Beliau menasihatkan kepada mereka yang mengalami gejala tersebut tidak mengambil ringan apabila bibir mereka mula melepuh atau berasa pedih.
“Herpes mulut mudah berjangkit, kadang-kadang tanpa disedari. Jaga kebersihan, elak berkongsi barang peribadi dan sentiasa peka dengan perubahan tubuh. Lebih baik berjaga-jaga daripada menyesal kemudian,” katanya.
Terdahulu, seorang pempengaruh yang juga usahawan mendedahkan, dia dijangkiti herpes menerusi video yang dimuat naik sewaktu berjumpa doktor.
Wanita yang sering mencetuskan kontroversi itu dikatakan mengaitkan jangkitan herpes tersebut dengan suaminya.
Perbuatan itu sekali gus mengundang kritikan dan kecaman orang ramai apabila ia disifatkan membuka aib pasangannya dan hal rumah tangga. – KOSMO! ONLINE