TEHRAN – Penasihat kepada Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menyatakan bahawa Iran telah menjangkakan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan pengayaan uranium Fordow hari ini, lapor saluran berita Al Jazeera.
“Tapak itu telah lama dipindahkan dan tidak mengalami sebarang kerosakan yang tidak dapat dipulihkan dalam serangan tersebut,” tulis Mahdi Mohammadi dalam catatan di laman sosial.
“Namun, terdapat dua perkara yang pasti: pertama, ilmu tidak boleh dibom dan kedua, penyerang akan kalah kali ini,” tambahnya.
Menurut pihak berkuasa Iran, tiada ancaman kepada penduduk di bandar Qom, selatan Tehran berikutan serangan AS ke atas tapak pengayaan nuklear tersebut yang berada di bawah di gunung berhampiran.
“Tiada ancaman bahaya kepada penduduk Qom dan kawasan sekitarnya di sekitar tapak pengayaan nuklear Fordow,” kata jabatan pengurusan krisis wilayah dalam satu kenyataan. – AGENSI