IPOH – Polis membuka kertas siasatan ke atas pemilik akaun Facebook yang dilaporkan membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebanyak 10 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung hantaran tersebut dengan laporan pertama dibuat di Temoh, Tapah.
“Lelaki terbabit ditahan semalam di Shah Alam dan kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. Siasatan kes ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, cuma laporan pertama sahaja dibuat di Temoh, Tapah.
“Difahamkan, pasukan siasatan telah merakam keterangannya dan suspek kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya, di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook ‘nxzmi.osmxn_’ didakwa membuat hantaran menggunakan kata-kata kesat terhadap Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran tersebut, suspek turut mempertikaikan pelantikan Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail sebagai Ketua Polis Negara dan mendakwa ia sebagai lantikan politik. – KOSMO! ONLINE