IPOH – Kerajaan Perak memperuntukkan RM20 juta setiap tahun bagi pengurusan lima buah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan tersebut membabitkan pembayaran emolumen guru, program latihan, makanan pelajar dan penyelenggaraan.
Katanya, sehingga kini, lima buah SMTDR telah beroperasi iaitu daerah Manjung di Pulau Pangkor, Kerian (Semanggol), Hulu Perak (Lenggong), Batang Padang (Sungai Lesung) dan Kinta (Ipoh).
“Pendidikan agama sentiasa menjadi tunjang penting dalam usaha membentuk insan yang seimbang antara jasmani, rohani, emosi dan intelek.
“Di sinilah letaknya kekuatan sekolah menengah agama, ia bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi juga memupuk nilai, membina akhlak dan membentuk keperibadian menjadi insan yang berguna kepada masyarakat,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah pada Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) peringkat kebangsaan kali ke-11 2025 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE