BATU PAHAT – Pelajar sekolah agama di negeri Johor akan diberikan kelonggaran berkaitan pemakaian sekiranya berlaku cuaca panas bagi memberikan keselesaan bagi menghadapi sesi pembelajaran sekiranya perlu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tidak ada pertikaian untuk perlaksanaannya dan kerajaan negeri memberikan kuasa di peringkat daerah membenarkan pemakaian yang bersesuaian.
Katanya, sebelum ini negeri Johor juga pernah melaksanakannya dan seharusnya tidak ada pertikaian kalau arahan itu diulangi sekali lagi sekiranya diperlukan.
“Pemakaian ke sekolah dipermudahkan dengan pakaian yang longgar, sebab di Johor ini memang kena pakai baju Melayu, jadi kadang-kadang ada keadaannya pakaian perlulah sesuai dengan cuaca.
“Arahan akan dibuat mengikut kesesuaian di daerah yang terlibat (cuaca panas),”katanya kepada pemberita selepas perasmian penutup Karnival Mahabbah Komuniti MADANI, Peringkat Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE