KUALA LUMPUR – New Zealand menamatkan kempen mereka dengan penuh bergaya apabila membenam Pakistan 6-2 pada aksi final Hoki Piala Negara-Negara FIH yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Skuad bimbingan Greg Nicol mempamerkan dominasi mutlak sejak awal permainan apabila mendahului 2-0 seawal suku pertama menerusi jaringan pantas Sam Hiha dan Scott Cosslett pada minit pertama dan ke-10 hasil gol padang.
Pakistan cuba bangkit di suku ketiga apabila Zikriya Hayat merapatkan jurang menerusi gol padang minit ke-39, tetapi The Black Sticks terus mengganas dengan tiga lagi jaringan Dylan Thomas, Sean Findlay dan Scott Boyde bagi meletakkan kedudukan 5-1 menjelang separuh masa kedua.
Cosslett kemudian melengkapkan malam gemilangnya apabila meledak gol kedua peribadi dan keenam pasukan pada minit ke-47, menjadikan beliau penjaring terbanyak perlawanan akhir dengan dua jaringan.
Pakistan hanya mampu menambah satu gol sagu hati menerusi Sufyan Khan pada minit ke-56, namun sudah terlambat untuk mencabar kejuaraan yang sudah sah menjadi milik New Zealand.
Perlawanan turut menyaksikan New Zealand mendominasi hampir semua aspek permainan termasuk meraih 13 pukulan sudut penalti (PC) berbanding tujuh milik Pakistan, sekali gus mendedahkan kerapuhan benteng pertahanan lawan.
Kemenangan itu menyaksikan New Zealand bukan sahaja merangkul gelaran Piala Negara-Negara kali ini, malah turut mencatat rekod jaringan tertinggi dalam perlawanan akhir sejak kejohanan itu dipertandingkan buat kali pertama pada 2022.
Pasukan Oceania itu kini mengesahkan slot ke kejohanan Liga Pro FIH 2026, selain membuatkan Pakistan terus kempunan untuk mengulangi era kegemilangan pasukan tersebut. – KOSMO! ONLINE