GUA MUSANG – Lebih 200 penduduk Orang Asli di Kampung Bering Baru, Pos Pasik di sini terpaksa keluar dari kawasan perkampungan dengan menempuh perjalanan selama satu jam semata-mata untuk membuat panggilan telefon selain menghantar pesanan ringkas.
Situasi itu terpaksa dilakukan oleh penduduk susulan kawasan kampung mereka didakwa tidak mempunyai rangkaian internet sejak 13 tahun lalu.
Alang Jaafar, 39, berkata, penduduk terpaksa berdepan cabaran menempuh jalan tanah dan berbatu dengan menunggang motosikal ke Kampung Pasik bagi mendapatkan capaian internet.
Katanya, ketiadaan kemudahan internet menyebabkan penduduk Kampung Bering Baru terputus hubungan dan ketinggalan banyak isu semasa.
“Sejak berpindah ke kampung ini pada 2011, kami tidak menerima kemudahan telekomunikasi dan sukar berhubung dengan orang luar atau pihak berwajib sekiranya berlaku kecemasan di kawasan kampung.
“Penduduk perlu menunggang motosikal ke Kampung Pasik untuk mencari talian telefon atau internet sekiranya mahu melaporkan kes kecemasan yang berlaku di kawasan kampung,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Lenoi Ranggas, 23, berkata, penduduk bagaimanapun bersyukur apabila telah menerima bantuan kemudahan asas yang lain daripada pihak kerajaan seperti bekalan elektrik dan air bersih.
Katanya, penduduk berharap masalah telekomunikasi dapat diselesaikan pihak kerajaan dengan membina sebuah menara telekomunikasi di kampung mereka.
“Kami terputus hubungan dengan dunia luar dan tidak tahu apa yang berlaku kerana tiada rangkaian internet walaupun mempunyai telefon pintar,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya akan membawa masalah telekomunikasi yang dihadapi penduduk Kampung
Bering Baru kepada agensi Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Katanya, talian telefon dan internet merupakan satu keperluan penting pada masa kini terutamanya penduduk di kawasan pedalaman.















