fbpx

Muhammad Syimir Amar dapat sumbangan komputer riba daripada PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Syimir (dua dari kanan) menerima sumbangan komputer riba daripada Maszlee (dua dari kiri) di rumahnya di Kampung Chengal, Perupok dekat Bachok hari ini. - Foto oleh ROSLIZA MOHAMED

BACHOK – Pelajar kurang berkemampuan yang memperoleh keputusan 8A dalam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, baru-baru ini, Muhammad Syimir Amar Almuktar, 18, menerima sumbangan komputer riba daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Prof Dr. Maszlee Malik di rumah keluarga Muhammad Syimir Amar di Kampung Chengal, Perupok, di sini hari ini.

Maszlee berkata, sumbangan itu bertujuan membantu pelajar tersebut yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Asasi Teknologi Kejuruteraan di Politeknik Arau, Perlis pada 9 Julai depan.

“Muhammad Syimir Amar datang daripada keluarga yang susah dan dia juga banyak membantu ibu membuat kuih untuk dijual bagi menyara keluarganya.

“Justeru, Perdana Menteri berpesan agar Muhammad Syimir Amar terus taat kepada ibunya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sumbangan Ziarah Kasih Madani di Kampung Chengal, Perupok di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Syimir Amar sebak apabila menerima sumbangan komputer riba berkenaan yang menjadi impiannya untuk mendapatkan peranti tersebut dan berterima kasih kepada Perdana Menteri.

“Memang saya berhasrat membeli komputer riba, tetapi mungkin ambil masa kerana perlu kumpul wang terlebih dahulu. Kini saya tidak perlu lagi risau persiapan untuk melanjutkan pengajian dan bersyukur kepada Allah SWT kerana ada rezeki untuk saya,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang ibu tunggal, Hayuzi Mat Zain, 46, buntu untuk mendapatkan sumber kewangan sebanyak RM3,000 menguruskan anak ketiganya yang bakal melanjutkan pengajian ke insitusi pendidikan tinggi awam (IPTA). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI