fbpx

Kupasan agama, ceramah dan dakwah perlu tepat – Sultan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sallehuddin bertitah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-83 di Istana Anak Bukit di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah baginda memandang serius beberapa perkembangan semasa yang boleh menggugat keselamatan dalam negeri, khususnya penyebaran ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Titah Sultan Sallehuddin, Majlis Agama Islam Negeri Kedah, masjid, surau serta sekolah-sekolah agama perlu memainkan peranan agar usaha dan tindakan membendung ajaran sesat, fahaman menyimpang dan pengaruh radikal dapat dilaksanakan dengan lebih tegas namun berhemah.

“Peranan para ulama, imam dan para pendakwah yang diiktiraf dan bertauliah amat penting dalam membimbing masyarakat.

“Beta ingin memberi peringatan agar sebarang kupasan agama, ceramah dan dakwah yang disampaikan hendaklah tepat agar tidak menimbulkan kekeliruan atau perpecahan di kalangan masyarakat,” titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-83 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Turut berangkat pada istiadat itu Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Baginda juga bertitah bahawa Kedah adalah sebuah negeri yang meraikan kepelbagaian dan segala perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati dan dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

“Beta ingin menekankan bahawa perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk memerlukan sensitiviti dan saling menghormati antara satu sama lain, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti dipikul dengan penuh rasa prihatin dan kesedaran tinggi. Oleh itu, beta menyeru agar setiap individu perlu sentiasa menghormati prinsip-prinsip tersebut demi memastikan perpaduan yang kukuh terus terpelihara di negeri ini,” titah baginda.

Sultan Kedah turut bertitah agar anak-anak Kedah yang telah berjaya untuk tampil memberikan sumbangan, sama ada dalam bentuk zakat, sedekah, wakaf, pelaburan, tenaga kepakaran mahupun inisiatif sosial demi kemajuan negeri.

“Dalam kita meraikan kejayaan, beta menyeru agar setiap kejayaan itu tidak hanya dinikmati secara peribadi semata-mata, sebaliknya jadikanlah kejayaan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk kembali menyumbang kepada negeri ini.

“Beta percaya jika setiap anak Kedah yang berjaya memberikan kembali kepada negeri, maka negeri ini akan terus makmur, berdaya saing dan disegani. Inilah semangat Kedah Sejahtera yang bukan sekadar slogan tetapi satu usaha bersama,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI