TEL AVIV – Israel menutup ruang udaranya sehingga tempoh diberitahu kelak ekoran ‘perkembangan terkini’, demikian menurut pengumuman Penguasa Lapangan Terbang Israel pagi ini berikutan pengeboman Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
“Ruang udara Israel ditutup untuk penerbangan masuk dan keluar ekoran perkembangan terkini,” kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Tambahnya, titik lintasan darat (dengan Mesir) dan Jordan beroperasi secara normal.
Israel menutup ruang udaranya pada 13 Jun lalu selepas melancarkan kempen pengeboman terhadap Iran.
Ia bagaimanapun membukanya semula kelmarin untuk penerbangan membawa pulang warganya yang terkandas di negara lain.
Sementara itu, agensi berita Reuters melaporkan letupan di Baitulmuqaddis dan Tel Aviv, dengan amaran diaktifkan di sebahagian besar Israel.
Saluran berita Al Jazeera pula melaporkan semalam bahawa bunyi letupan kedengaran di Tel Aviv, di mana beberapa bangunan dilihat terbakar.
Di tengah Israel, perkhidmatan kecemasan mengeluarkan imej menunjukkan kebakaran di atas bumbung bangunan kediaman bertingkat.
Laporan media tempatan menyebut bahawa kebakaran itu berpunca daripada serpihan peluru berpandu Iran yang dipintas.
Sekurang-kurangnya 24 orang maut akibat serangan peluru berpandu Iran di Israel, demikian menurut pihak berkuasa tempatan, dalam konflik terburuk antara seteru lama itu. – AFP/AGENSI