LONDON – Senarai calon Anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) yang diumumkan menyaksikan dua pemain Liverpool, Mohamed Salah dan Alexis MacAllister berada dalam senarai.
Bagaimanapun, senarai tersebut menimbulkan rasa marah dalam kalangan peminat The Reds apabila kapten mereka, Virgil Van Dijk tidak berada dalam senarai pendek enam pemain yang bakal merebut gelaran tersebut.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, empat lagi pemain yang tercalon melibatkan kapten Manchester United, Bruno Fernandes, penggempur Newcastle United, Alexander Isak, pemain tengah Arsenal, Declan Rice dan bintang muda Chelsea, Cole Palmer.
Sebaik pengumuman tersebut dibuat, ia menimbulkan rasa kurang senang dan para peminat Liverpool memberikan reaksi pelbagai termasuk mengkritik kriteria pemilihan yang dilakukan.
“Sangat menjengkelkan apabila nama Van Dijk tidak disenaraikan, standard pemilihan yang rendah,” kata salah seorang peminat.
Dalam komen media sosial tersebut juga menyaksikan peminat Liverpool mahukan alasan kukuh terhadap pemilihan Fernandes, Rice dan Palmer berbanding Van Dijk yang telah membantu pasukan itu menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Mereka berpendapat bahawa Van Dijk layak untuk berada dalam senarai pendek berkenaan ekoran prestasi cemerlang dipamerkan sepanjang musim lalu berbanding ketiga-tiga pencabar tersebut.
Anugerah berkenaan bakal dilangsungkan pada 19 Ogos nanti bertempat di Manchester. – AGENSI