fbpx
NORZEETA AKMAH (dua dari kanan) bergambar kenangan selepas berjaya menawan puncak Gunung Rajah.

‘Daki Gunung Rajah macam nak beri nyawa percuma kepada Pencipta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDENGAR kisah Gunung Rajah, Pahang daripada pengalaman rakan-rakannya telah berjaya menarik perhatian wanita yang dikenali sebagai Norzeeta Akmah untuk menawan puncak setinggi 1,685 meter (m) itu.

Meskipun pengalaman rakan-rakannya kedengaran ‘seram’, namun dia tetap ingin mencabar diri mendaki gunung dengan laluan trek ‘kejam’ itu.

Akhirnya, dia memilih untuk menyertai pendakian (day hike) bersama kumpulan Yolo Outdoor ke Gunung Rajah melalui trek pendakian dari Kuala Kubu Bharu (KKB), Selangor.

Berkongsi pengalaman pendakiannya, Norzeeta Akmah berkata, Gunung Rajah yang terletak di sempadan Pahang-Selangor merupakan salah satu puncak yang ingin ditawannya.

“Pada awalnya, saya berasa seperti tidak yakin dapat menyelesaikan pendakian di sana.

“Ini selepas saya dengar macam-macam kisah mengenai trek Gunung Rajah. Bukan cerita hantu, namun kisah kejam trek mendaki ke puncak gunung ini.

“Sebelum cuba mendaki Gunung Rajah, saya telah mendaki Gunung Nuang, Gunung Ledang, Bukit Kutu, GAP dan Gunung Besar Hantu yang dikatakan ‘adik-beradik’ kepada Gunung Rajah,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

LALUAN Tangga Besi dan Tali yang dikatakan agak mencabar.

Selepas semua gunung ‘adik-beradik’ berjaya ditawan, baru terbit keyakinan dalam diri Norzeeta Akmah untuk mendaki Gunung Rajah melalui trek KKB.

Pendakiannya bermula awal pagi dari Lata Naning yang merupakan satu kawasan air terjun cantik. Lokasi itu juga menjadi titik permulaan ke Gunung Rajah.

Dari sini, perjalanan menelusuri trek adalah sepanjang 12 hingga 13 kilometer (km) sehala, merentasi hutan dipenuhi akar besar, pokok tua dan beberapa sungai kecil.

Kongsinya, permulaan trek agak landai tetapi panjang iaitu lebih kurang 6 km, dan ia sesuai dijadikan sesi pemanasan badan sebelum tiba di kawasan lebih teknikal.

“Selepas beberapa kilometer, saya mula rasa kadar degupan jantung mula naik sampai 162 kali seminit dan nafas jadi pendek. Kadang-kadang rasa seperti tengah main bola jaring di padang sekolah.

“Ada banyak checkpoint penting sepanjang laluan termasuk Sungai Kecil dan Batu Panjat iaitu lokasi yang memerlukan pendaki memanjat batu besar menggunakan tali licin.

“Kemudian, laluan Tangga Besi dan Tali iaitu kawasan paling menguji mental para pendaki. Di sini, saya rasa seperti hendak beri nyawa secara percuma kepada Pencipta,” ujarnya.

Katanya lagi, terdapat juga laluan Lumpur dan Pacak Terakhir yang merupakan antara bahagian paling menyeksakan jiwa.

“Apabila jarak semakin hampir untuk sampai ke puncak, ada lagi laluan tinggi yang perlu dilalui. Kawasan puncak pula agak sempit, tetapi cukup untuk satu kumpulan kecil bergambar kenangan.

“Pemandangan di atas Gunung Rajah sangat mengasyikkan sehingga lupa seketika sakit lutut serta otot.

“Akhirnya, Gunung Rajah berjaya ditawan dalam masa lebih kurang 12 hingga 14 jam (turun dan naik).

“Saya paling akhir sampai ke puncak dan saya juga orang terakhir tiba di titik mula. Selepas ini, saya mahu mencari gunung-gunung yang lebih santai kerana masih trauma mendaki Gunung Rajah,” selorohnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI