PHILADELPHIA – Pengendali Chelsea, Enzo Maresca mengakui kesilapan taktikal menjadi punca pasukannya tewas mengejut 1-3 kepada Flamengo dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Dunia Kelab awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Lincoln Financial Field itu, skuad The Blues berjaya mendahului 1-0 hasil jaringan Pedro Neto sebelum kelab Rubro-Negro bangkit meledak tiga gol hasil penyudah Bruno Henrique, Danilo dan Wallace Yan.
Lebih malang, Chelsea terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas penyerang utama, Nicolas Jackson dilayangkan kad merah susulan terjahan keras yang dilakukan ke atas Lucas Ayrton.
Kata Maresca, apa yang dipamerkan oleh pemain di bawah tahap sebenar dan semua dituntut bangkit untuk menang pada aksi terakhir nanti.
“Kita cuba buat pembaharuan pada aksi kali ini demi kebaikan masa depan, tetapi percaturan itu gagal. Pujian wajar diberikan kepada Flamengo dan mereka layak untuk menang.
“Kini, kita wajib menang aksi terakhir nanti untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Maresca mengakui pening dengan sikap panas baran Jackson yang turut dilayangkan kad merah ketika bertemu Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan lalu.
“Tiada alasan yang boleh saya berikan kerana terjahan itu memang layak diberikan kad merah,” katanya. – AGENSI