SHAH ALAM – Misteri bunyi seakan letupan kuat yang menyelubungi penduduk Shah Alam pada awal bulan lalu berkemungkinan besar akibat mercun.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, ia susulan siasatan dilakukan pihaknya mendapati tiada kerja-kerja letupan dijalankan pada hari kejadian tersebut tular.
“Siasatan dari aspek permit kerja-kerja letupan pada malam tersebut telah dijalankan dan kita sahkan tiada aktiviti tersebut.
“MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) tidak lagi meneruskan siasatan kes bunyi tersebut dan dianggap selesai,” katanya selepas Majlis Pelancaran Parkir Percuma Untuk Warga Emas (Golden Parking) Dan Kempen Bayar Dan Menang Cukai Taksiran 2025 di Elmina Lakeside Mall Seksyen U15 yang disempurnakan Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd.Najwan Halimi di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan misteri bunyi kuat seakan-akan letupan yang didengari penduduk di sekitar Shah Alam bulan lalu, belum mendapat sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim menyatakan pihaknya tidak menerima maklumat atau maklum balas konkrit daripada PBT berkaitan gangguan itu setakat ini. – KOSMO! ONLINE