KAJANG – Akrab ibarat keluarga, pelakon Didie Alias menyifatkan Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed sebagai seorang rakan media yang banyak membantunya sepanjang bergelar anak seni.
Pada masa sama, Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. Ali, 53, memaklumkan arwah sentiasa menyokong artis selain kerap bertanya khabar.
“Dia memang rapat dengan media, sudah macam keluarga.
“Kami selalu jumpa ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), mereka inilah yang banyak sokong orang lama sebab tanpa orang lama, tak ada orang baharu.
“Dia selalu cakap dia sentiasa akan sokong orang-orang lama, apa saya punya perkembangan, beritahu saja. Kami berbual macam adik-beradik. Dia banyak bantu kami,” katanya kepada Kosmo! Online.
Selain itu, Didie menzahirkan ucapan terima kasih kepada arwah dan merancang akan mengadakan kenduri tahlil di rumahnya kelak.
“Terima kasih, Raja Mawar. Sepanjang 40 tahun saya dalam industri ini, saya rasa tak ada rahsia yang dia pernah keluarkan untuk orang baca. Yang perlu dikeluarkan saja dia keluarkan.
“Yang lain dia simpan. Dia orang baik, itu sebab Tuhan sayang doa. Insya-Allah kita doakan.
“InsyaAllah saya akan buatkan tahlil untuk dia dekat masjid rumah Mummy,” ujarnya.
Allahyarham Raja Nurfatimah meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, di sini selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira jam 2 petang, semalam.
Pemergian Raja Nurfatimah yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawan dan cukup dikenali dalam kalangan pengamal industri seni, mengejutkan keluarga dan kenalan.
Jenazah Allahyarham Raja Nurfatimah dibawa ke Hospital Kajang, bagi menjalani postmortem.
Jenazah Allahyaham Raja Nurfatimah kemudian dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Haji Kadir Pasir Panjang. – KOSMO! ONLINE