TEHRAN – Pertubuhan Tenaga Atom Iran mengesahkan bahawa tapak nuklear di Fordow, Natanz dan Isfahan ‘diserang oleh musuh’ dalam tindakan biadab yang melanggar undang-undang antarabangsa, terutamanya Perjanjian Bukan-Proliferasi Nuklear.
Ia berkata, serangan itu berlaku di tengah-tengah ketidakpedulian dan keterlibatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Organisasi Tenaga Atom Iran memberi jaminan kepada Iran bahawa walaupun konspirasi jahat musuh-musuhnya, dengan usaha beribu-ribu saintis dan pakar, ia tidak akan membenarkan laluan pembangunan industri nasional (nuklear) ini dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam ucapannya sejurus mengumumkan pengeboman ke atas tiga tapak nuklear tersebut terus memberi ancaman kepada Iran.
“Akan ada keamanan atau tragedi untuk Iran, jauh lebih besar daripada yang kita saksikan sejak lapan hari lalu.
“Ingat, terdapat banyak sasaran yang masih ada.
“Malam ini adalah yang paling sukar daripada semuanya setakat ini, tetapi jika keamanan tidak dicapai dengan cepat, kami akan mengejar sasaran lain,” katanya. – AGENSI