KUALA LUMPUR – Seramai 500 peserta menyertai larian lima kilometer (km) dan berbasikal sepanjang 10 km sempena Pesta Kopi Melawati 2025 di Jalan Negara, Taman Melawati pagi tadi.
Larian bermula pukul 7 pagi yang bertemakan ‘Semangat Kejiranan dan Gaya Hidup Berkualiti’ itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari.
Pesta yang julung kali diadakan ini menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui pelbagai aktiviti menarik seperti Melawati Coffee Run & Ride, Tarung Seni Latte yang menguji kreativiti barista serta jualan kopi oleh pengusaha tempatan.
Sementara itu, Amirudin berkata, budaya kopi tempatan telah mengalami transformasi luar biasa sejak 10 hingga 20 tahun lalu.
“Dahulu, kopi hanyalah sekadar minuman kampung manis, disajikan dengan kuih tradisional dan menjadi simbol pertemuan santai di warung.
“Hari ini, ia sudah beranjak menjadi gaya hidup penuh dengan kepelbagaian rasa, teknik penyediaan dan naratif budaya tersendiri,” ujarnya.
Namun, dalam keterujaan terhadap jenama antarabangsa, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak melupakan kopi tempatan yang mempunyai identiti dan cita rasanya tersendiri. – KOSMO! ONLINE