PETALING JAYA – Seorang wanita rakyat Malaysia berkongsi situasi semasa yang dialami keluarganya di Iran susulan serangan yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi laman TikTok miliknya dengan nama @Azreen_lifejourney, dia menjelaskan bahawa suaminya merupakan warganegara Iran dan seluruh keluarga mentua kini berada di negara itu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak.
Menurut beliau, pada hari keenam sejak serangan pertama dilancarkan oleh Israel terhadap Iran, dia mengakui mempunyai akses kepada maklumat terkini melalui media Iran berbahasa Farsi, yang menurutnya memberikan perspektif yang berbeza daripada liputan media Barat.
Perkembangan paling membimbangkan ialah gangguan komunikasi apabila talian internet dan panggilan terus dari luar negara ke Iran telah disekat. Dia percaya tindakan ini diambil oleh kerajaan Iran sendiri bagi mengelakkan risiko penggodaman oleh pihak luar, termasuk Israel. Namun begitu, rakyat Iran masih boleh berhubung sesama mereka serta membuat panggilan ke luar negara.
Wanita tersebut turut meluahkan kebimbangan apabila suaminya menyatakan hasrat untuk kembali ke Iran sekiranya hubungan dengan keluarga terputus sepenuhnya atau jika dipanggil untuk mempertahankan tanah air. Dia mendedahkan bahawa suaminya telah pun meninggalkan wasiat sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Di akhir video, dia menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong dan mendoakan keselamatan rakyat Iran, serta menggesa masyarakat antarabangsa agar memberi perhatian terhadap keadaan yang semakin kritikal ini. Tambahnya lagi, situasi ini turut memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan warga Iran.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi ditunjukkan terhadap hantaran tersebut dan rata-ratanya memberikan kata-kata semangat kepada wanita tersebut.
“Saya sentiasa doakan semua orang di Iran. Jangan sedih tau, Puan,” kata @Pengembara Nomad.
“Semoga ahli keluarga anda sentiasa dlm keadaan selamat, dalam lindungan Allah dan juga pada seluruh rakyat Iran. Hasbunallah Wani’mal wakil,” komen @llSWGF🇵🇸
“Moga dipermudahkan urusan puan sekeluarga,” ujar @Mona Live Show. – KOSMO! ONLINE
@azreen_lifejourney Internet terputus di #Iran ♬ original sound – Azreen_lifejourney