KOTA BHARU – Malaysia perlu meneroka pasaran baharu di negara-negara berpotensi dan bebas daripada peperangan bagi menjaga selain meningkatkan hasil eksport komoditi negara di pasaran global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peperangan seperti konflik Iran-Israel dan Russia-Ukraine diakui serba sedikit menjejaskan eksport komoditi negara walaupun kesannya tidak begitu teruk.
Menurutnya, peperangan akan menjejaskan permintaan terhadap produk komoditi negara apabila kapal-kapal tidak akan sampai atau bimbang untuk pergi ke negara-negara yang berada di sekitar kawasan peperangan sementara kos sewaan kontena akan meningkat tiga hingga empat kali ganda.
“Eksport tahunan kita kepada dunia kini mencecah RM186 bilion.Apabila terjadi peperangan, ia akan sedikit sebanyak produk negara akan terjejas dari sudut permintaan.
“Jika kapal-kapal dagang menghantar barangan ke negara-negara sekitar kawasan peperangan sekali pun, kadar insurans mereka pasti akan bertambah tinggi dan semua kos ini akan dikenakan kepada pembeli,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi ramah mesra dan dialog bersama pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu di Lembah Sireh di sini hari ini.
Johari memberitahu, negara kini berdagang dengan 80 negara di serata dunia dan kita perlu mula meneroka pasaran di negara-negara baharu.
Katanya, Malaysia tidak lagi boleh sekadar bergantung kepada satu-satu pasaran di sesebuah negara.
“Kita juga perlu berusaha meminta negara-negara yang tidak terlibat dalam konflik atau peperangan menambah permintaan dan membeli lebih daripada kita. Prospeknya banyak, cuma kita perlu usahakan agar mereka menjadi pelanggan tetap kepada produk kita,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.