fbpx

Siasat elemen kongsi gelap kes tembak depan kedai motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa di lokasi kejadian itu semalam.-FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED/KOSMO!

KLANG – Polis menyiasat elemen kongsi gelap berhubung kes seorang lelaki maut ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal di Taman Meru Utama, Meru di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya telah memanggil beberapa individu bagi dirakamkan percakapan dan keterangan.

“Saksi-saksi lain dijangka turut akan dipanggil bagi membantu siasatan kes itu.

“Kita juga menyiasat sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan elemen kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang mengusahakan perniagaan sendiri itu menemani rakannya untuk membeli sebuah motosikal terpakai.

“Ketika kejadian mangsa hanya berdua bersama rakannnya sebelum ditembak dari jarak dekat,” ujarnya.

Kata Vijaya, pihaknya turut meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di sekitar kawasan kejadian.

“Siasatan setakat ini mendapati CCTV di lokasi itu tidak dapat membantu siasatan. Namun, polis sedang berusaha meneliti beberapa CCTV lain berhampiran kawasan berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, polis menunggu laporan hasil bedah siasat yang dijalankan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan M. Sathiyaseelan di talian 012-5197913 atau balai polis berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI