fbpx

SD Guthrie, Sime Darby Property bangunkan projek usaha sama di Pulau Carey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Carey memiliki keunikannya tersendiri dengan pemandangan semula jadi. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) dan Sime Darby Property
Berhad (SDP) telah memeterai  perjanjian usaha sama untuk membangunkan
kawasan seluas hingga 800 hektar di Pulau Carey, Selangor, dalam usaha menyokong pertumbuhan inovasi dan ekonomi mampan di pulau tersebut.

Perjanjian usaha sama itu dimeterai berikutan kesepakatan yang dicapai oleh kedua-dua syarikat melalui siri perbincangan yang bermula sejak 2023 untuk memacu penciptaan nilai jangka panjang di Pulau Carey.

Projek tersebut akan direalisasikan melalui penubuhan sebuah syarikat tujuan khas (SPV), yang mana kedua-dua syarikat berhasrat merealisasikan potensi Pulau Carey sepenuhnya sebagai hab industri dan logistik terkemuka yang dibangunkan seiring perniagaan kelapa sawit bersepadu yang telah lama bertapak di pulau tersebut.

Pembangunan tersebut juga sekali gus akan melengkapi operasi Westport dan Northport yang sedia ada di Pelabuhan Klang.

SD Guthrie dan SDP adalah syarikat pelaburan strategik di bawah Permodalan NasionalBerhad (PNB) dan  PNB akan menamakan Pengerusi bagi SPV baru tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya  menyambut baik dan menyokong kerjasama strategik antara dua entiti tersebut sejajar dengan aspirasi nasional dan inisiatif GEAR-uP oleh Kerajaan untuk merangsang pelaburan domestik.

“Usaha sama strategik ini akan memberi lonjakan kepada pembangunan mampan di kawasan berpotensi tinggi ini, serta membantu mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi dan perindustrian Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kawasan seluas 800 hektar di Pulau Carey menyediakan skala yang diperlukan untuk membangunkan kemudahan logistik bertaraf dunia, rantaian bekalan bersepadu, dan industri bernilai tinggi yang mampu menarik pelabur global.

Pelabuhan di Pulau Carey juga dijangka mampu bersaing dengan pelabuhan serantau di Singapura, Thailand dan Vietnam, sekali gus
menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi pusat logistik serantau terkemuka.

Pada hari ini, Pulau Carey dikenali sebagai satu-satunya lokasi perladangan sawit bersepadu penuh di Lembah Klang.

Di pulau tersebut, SD Guthrie mengendalikan dua ladang dan kilang minyak sawit yang diperakui piawaian kelestarian tertinggi dunia.

Di situ juga terdapat loji penghancur isirung sawit, loji biodiesel, pusat penyelidikan dan pembangunan, pusat robotik dan inovasi, serta tapak semaian benih sawit.

Minyak sawit yang dihasilkan di Pulau Carey diproses di dua kilang penapisan besar di Langat dan Pelabuhan Klang, yang membekalkan produk kepada para pelanggan antarabangsa.

Selain itu, pulau ini mempunyai aksesibiliti dengan bandar-bandar berdekatan melalui Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang turut bersambung dengan Lebuhraya Utara- Selatan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, infrastruktur ini menawarkan potensi besar untuk kawasan ini membangun sebagai hab industri dan logistik, sambil perniagaan perladangan sedia ada di pulau ini dapat terus berkembang.

“Sekitar 28,646 ekar atau 79 peratus kawasan di Pulau Carey dimiliki oleh SD Guthrie dan ladang-ladang syarikat tersebut di pulau tersebut diurus secara mampan bagi memastikan pemeliharaan alam sekitar.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI