fbpx

Rakyat Sabah sensitif isu tadbir urus kewangan, integriti pemimpin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kestabilan politik dan ekonomi mampu memacu pertumbahan negeri Sabah pada masa akan datang. - Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Isu yang timbul terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkaitan dakwaan melupuskan Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) sebanyak RM178 juta kepada sebuah syarikat semasa beliau mengetuai pentadbiran Sabah dilihat mampu menghilangkan kepercayaan pengundi terhadap pemimpin itu.

Keadaan itu berikutan, rakyat Malaysia khususnya di Sabah begitu sensitif terhadap isu-isu melibatkan tadbir urus kewangan dan integriti pemimpin yang mana isu seperti penyelewengan dan rasuah menjadi amalan yang ditolak rakyat.

Dalam konteks ini, apabila seseorang pemimpin terkait kontroversi lebih-lebih lagi apabila melibatkan tadbir urus kewangan, rakyat mungkin mula hilang kepercayaan memandangkan keutuhan sesebuah kerajaan perlu didirikan berlandaskan konsep integriti dan kejujuran.

Jika dilihat, meskipun dakwaan itu dinafikan, namun ia masih boleh menimbulkan keraguan dan spekulasi dalam kalangan pengundi terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, isu berkaitan elemen ketelusan kewangan merupakan topik paling tidak disukai rakyat lebih-lebih lagi jika jumlahnya besar.

“Persepsi negatif ini boleh tersebar dengan cepat terutamanya melalui media sosial dan saluran berita alternatif, seterusnya mencipta naratif yang mencabar kredibiliti Warisan dan kepimpinannya.

“Sebagai contoh, di kawasan-kawasan yang pengundi atas pagarnya ramai seperti di Kota Kinabalu atau Penampang, isu seperti ini boleh mempengaruhi keputusan mereka.

“Walaupun pihak Warisan telah membuat penafian, perkara itu membuatkan pengundi berfikir dua kali sebelum memberikan sokongan kepada parti tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.

Baru-baru ini, Mohd. Shafie menafikan dakwaan sebuah portal yang mengaitkannya dengan pelupusan NPL semasa beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Development Bank (SDB).

Dalam pada itu , Prof. Madya Dr. Syahruddin berkata, penafian Mohd. Shafie mengenai dakwaan melupuskan NPL sebanyak RM178 juta dilihat mampu memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap parti itu.

“Walaupun dinafikan, dakwaan sebegini seringkali meninggalkan tanda tanya dan keraguan dalam fikiran pengundi
terutamanya jika ia melibatkan jumlah wang yang besar.

“Dalam politik, persepsi adalah segala-galanya, dan isu kewangan yang tidak jelas atau mencurigakan boleh dengan mudah mencemarkan reputasi parti.

“Jadi, rakyat akan mempersoalkan integriti kepimpinan Warisan,” katanya.

Pada masa sama, jelas beliau, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak mengambil alih pentadbiran negeri menerusi pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, GRS telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan termasuklah pengagihan peruntukan yang lebih meluas ke kawasan luar bandar dan penekanan terhadap pelaburan asing di Sabah.

“Sebagai contoh, pembinaan jalan raya Pan Borneo yang diteruskan dan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) telah menyumbang kepada peningkatan sokongan rakyat.

“Prestasi ini secara tidak langsung memberikan tekanan besar kepada Parti Warisan yang sebelum ini merupakan parti pemerintah untuk menunjukkan bahawa mereka mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik atau setidaknya setanding dengan GRS.

“Jadi, mereka perlu mengatasi persepsi bahawa pentadbiran mereka sebelum ini mungkin tidak secekap GRS dalam beberapa aspek, terutamanya dalam menarik pelaburan besar dan menguruskan isu-isu ekonomi secara menyeluruh,” jelasnya.

Selain itu, jika dilihat, ketika ini sokongan rakyat Sabah terhadap kepimpinan Hajiji berada pada landasan tepat selepas pentadbiran kerajaan negeri berjaya mencipta suasana politik bersih selain berjaya melonjakkan potensi hasil negeri pada tahap maksimum.

Bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Roger Chin berkata, kepimpinan Hajiji berjaya membantu negeri itu beralih arah dan terus mencipta kejayaan setanding negeri maju lain di Malaysia.

Katanya, menerusi kepimpinan Hajiji, Sabah berjaya meningkatkan kedudukan fiskal, seterusnya menyaksikan pertumbuhan ekonomi stabil serta meningkatkan peruntukan kepada belanjawan pembangunan.

“Rizab Sabah melonjak kepada RM8.6 bilion berbanding RM2.93 bilion yang dicatatkan pada 2020 yang mana menurut Hajiji ia merupakan petunjuk jelas tadbir urus kewangan yang lebih baik aliran hasil yang berkembang.

“Ini mencerminkan bukan sahaja kehematan fiskal, tetapi juga prestasi yang lebih kukuh beberapa syarikat berkaitan kerajaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI