fbpx

Rachel kempunan tamat kemarau sedekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RACHEL tumbang buat kali kedua di perlawanan akhir kejohanan Asia selepas tewas kepada Tze Lok hari ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold berdepan situasi tidak dijangka apabila terlepas peluang menjadi juara pada Kejohanan Skuasy Individu Asia 2025 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung hari ini, pilihan utama kejohanan itu tewas mengejut 4-11, 12-10, 4-11, 0-11 kepada pemain Hong Kong, Tomato Ho Tze Lok dalam aksi memakan masa 37 minit.

Aksi ditampilkan Rachel pada perlawanan itu dilihat serba tidak menjadi, sekali gus memberi laluan mudah buat pemain lawan untuk mengutip mata demi mata.

Keputusan itu turut menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk menamatkan kemarau selama 10 tahun dalam acara perseorangan wanita selepas kali terakhir dilakukan legenda skuasy tanah air, Datuk Nicol David pada 2015.

Selepas kemenangan terakhir dilakar Nicol, tidak ada lagi pemain negara yang lain pernah mengulangi pencapaian cemerlang tersebut.

Rachel juga pernah melangkah ke perlawanan akhir pada edisi 2021, namun terpaksa akur tewas kepada seorang lagi pemain Hong Kong, Tong Tsz Wing.

Selain Rachel, pemain No.8 dunia, S. Sivasangari juga hampir untuk menamatkan kemarau tersebut dua tahun lalu apabila melangkah ke final tetapi tewas kepada Chan Sin Yuk, juga dari Hong Kong.

Ketiadaan Sivasangari dan pemain lelaki No.13 dunia, Ng Eain Yow yang menarik diri menyebabkan perancangan kem negara sedikit terjejas sehingga meletakkan Rachel sebagai taruhan terbaik.

Sementara itu, Hong Kong memastikan mereka menyapu bersih gelaran pada kejohanan Asia kali ini apabila Lau Tsz Kwan menewaskan Abdulla Al-Tamimi dari Qatar 14-12, 13-11, 11-9 untuk memenangi kategori lelaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI