ALOR SETAR – Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris bakal menerajui kepimpinan pasukan tersebut ekoran persaraan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.
Mohd. Asghar Khan yang mengesahkan akan menamatkan perkhidmatannya selepas empat dekad dalam TUDM itu berkata, upacara serah tugas itu dijadualkan berlangsung pada 26 Jun.
“Pada hari Khamis, 26 Jun ini saya akan menyerahkan tampuk pemerintahan TUDM kepada Panglima Tentera Udara yang baharu, iaitu Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan. Pada hari itu akan ada upacara kenaikan pangkat dan sebagainya.
“Saya sudah memaklumkan kepada seluruh warga TUDM untuk memberikan kerjasama yang baik kepada kepimpinan baharu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 86/24 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24 di Kolej Tentera Udara di sini hari ini.
Pada majlis itu sebanyak 26 pelatih Institut Penerbangan 1 (Inspen 1) dan Institut Penerbangan 2 (Inspen 2) terdiri daripada 12 calon juruterbang pesawat sayap kaku dan 15 calon juruterbang helikopter.
Mengulas lanjut kata Mohd. Asghar Khan, beliau menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu itu akan turut memfokuskan hala tuju pasukan itu dalam memastikan kesinambungan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55), khususnya aspek pembangunan modal insan dan keupayaan teknologi masa hadapan.
“Harapan saya agar perancangan di bawah CAP55 diteruskan. Walaupun ia memerlukan penyesuaian mengikut perubahan geostrategi serantau dan global, asasnya tetap kekal iaitu kesiapsiagaan dan kelestarian. Kita perlu sensitif tentang apa yang perlu kita laku dan sediakan,” katanya.
Tambah beliau, keutamaan kini bukan sekadar kepada pemilikan aset moden seperti tetapi juga kepada latihan dan penguasaan teknologi oleh anggota TUDM.
“Kita perlu hantar pegawai-pegawai untuk menjalani latihan awal dalam bidang kepakaran dan teknologi baharu, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI). Supaya bila aset ini masuk ke dalam inventori, mereka sudah bersedia. Tidak timbul kejutan ketika peralatan sampai,” katanya yang menerajui TUDM sejak Mac 2022.