Oleh NABILA NATASHA YUSMADIE
KUALA LUMPUR – Pemain tengah negara, Mohammad Fitri Saari menegaskan misi utama skuad hoki lelaki negara kini adalah untuk menamatkan kempen Piala Negara-Negara FIH 2025 di kedudukan kelima apabila turun beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan hari ini.
Speedy Tigers bakal berdepan Wales dalam penentuan tempat kelima petang ini selepas berjaya menewaskan Afrika Selatan 4-2 semalam.
“Kita tahu ikut ranking kita berada di tempat kelima, jadi kita kena tamatkan perlawanan di tempat yang sama juga,” katanya selepas perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Pemain berusia 30 tahun itu menyifatkan jaringan terakhir miliknya yang menjadikan kedudukan 4-2 amat penting untuk meredakan tekanan ketika Afrika Selatan cuba bangkit di hujung permainan.
“Kita tahu mereka cuba lakukan kebangkitan semula dengan mengeluarkan penjaga gol mereka. Memang sedikit tertekan di penghujung, tapi bahagian pertahanan kita sangat baik hari ini (semalam).
“Kita dah berbincang, semua pemain tahu pertahanan itu sangat penting walaupun bermain sebagai penyerang atau pun di bahagian tengah,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi Akhimullah Anuar Esook yang mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, Fitri tetap optimis pemain muda itu akan bangkit dalam aksi terakhir esok.
“Mungkin hari ini bukan hari dia, tapi saya harap dia dapat menyumbang lebih esok,” ujarnya. – KOSMO ONLINE