PIHAK pengurusan Kelantan Darul Naim (KDN FC) memaklumkan penyelesaian masalah tunggakan gaji pemain, terutama yang beraksi di pentas Liga Super musim lalu baru mencapai sepuluh hingga 30 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDN FC, Datuk Mohd. Irwan Rizal Ali Napiah berkata, masalah pembayaran gaji tertunggak melibatkan pemain-pemain Liga Super musim lalu adalah untuk Februari, Mac dan April 2025 sahaja.
Bagaimanapun, jumlah sebenar gaji tertunggak yang perlu diselesaikan tidak dapat dimaklumkan dan beliau sendiri enggan menyatakannya secara anggaran kerana melibatkan soal kewangan.
“Kita telah buat perjumpaan dengan pemain-pemain terlibat untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji. Malangnya pertemuan kali pertama sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha lalu berkesudahan dengan tidak ada kehadiran (pemain Liga Super musim lalu).
“Bagaimanapun untuk pertemuan kali kedua bermula hari ini (semalam) dilihat ada kehadiran pemain dan ada penyelesaian telah dibuat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra KDN FC Bersama Kelab-Kelab Penyokong Kelantan kelmarin.
Mengulas persiapan pasukan, Mohd. Irwan berkata KDN FC memperuntukkan RM6 juta untuk pengurusan pasukan termasuk keperluan pemain, jurulatih, pegawai dan aspek pengurusan lain.
“Dari segi pemain, kami menawarkan kontrak kepada beberapa pemain import dan tempatan. Bagi jawatan ketua jurulatih pula, kami akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat, mungkin minggu depan,” katanya.
Namun, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menawarkan diri untuk menjadi penasihat KDN FC mendedahkan bekas pengendali skuad B-23 negara, E. Elavarasan bakal membimbing skuad Kijang Emas musim depan. – KOSMO! ONLINE