fbpx

Liga Super: JDT mahu ‘panas badan’ di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bergson da Silva (tengah) giat menjalani sesi latihan pramusim bersama pasukan di Padang Seri Gelam sejak awal minggu ini. - Foto ihsan Johor Southern Tigers

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan bakal ‘asah taring’ bertemu beberapa kelab ternama di Sepanyol pada bulan depan sebagai persiapan untuk mengharungi saingan Liga Super yang bermula pada Ogos nanti.

Skuad Harimau Selatan yang berwajah baharu dibawah kendalian pengendali dari Sepanyol, Xisco Munoz dijangka terbang ke Sepanyol dan akan berkampung selama tiga minggu untuk mengharungi aksi pramusim.

Lebih menarik, JDT turut dapat mengatur satu aksi bertemu kelab yang beraksi dalam saingan La Liga, Levante UD pada saingan persahabatan nanti.

“JDT akan menentang kelab La Liga, Levante UD semasa kem pramusim Harimau Selatan di Sepanyol dari 3 hingga 22 Julai. Beberapa lagi perlawanan persahabatan di Sepanyol akan diumumkan tidak lama lagi.

Levante muncul juara Segunda Division bagi musim 2024-25, sekaligus melayakkan diri ke saingan tertinggi bola sepak Sepanyol musim hadapan,” kata kenyataan yang dikeluarkan Johor Southern Tigers

Keputusan tersebut menyaksikan harapan peminat untuk melihat JDT bertemu dengan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) dalam masa terdekat mungkin tidak kesampaian.

Sebagai rekod, pada awal tahun ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengatur aksi persahabatan PSG pada kempen pramusim kali ini atau tahun depan.

Kerjasama antara JDT dan PSG sudah bertiup kencang sejak Disember lepas apabila kedua-dua kelab mengadakan beberapa siri pertemuan dan mesyuarat di Qatar atas jemputan khas Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.

Kali terakhir JDT mengadakan aksi persahabatan dengan kelab gergasi Eropah adalah sewaktu melayan kunjungan Borussia Dortmund pada November 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI