JAKARTA – Seorang pekerja kurier di Indonesia menerima kecaman orang ramai apabila melemparkan bungkusan berisi televisyen ke halaman rumah penerima, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Kejadian dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @kikiaditya21.
Rakaman itu memaparkan penghantar terbabit menghampiri sebuah rumah sebelum melemparkan televisyen dari atas pagar lalu beredar.
Bungkusan besar itu terjatuh ke lantai dan menghasilkan bunyi dentuman yang kuat.
Masih belum jelas lokasi kejadian.
Rakaman itu mencatatkan lebih 890,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Isinya televisyen, bukan bantal,” kata seorang netizen.
“Lain kali jangan kunci pagar rumah. Tolong jawab panggilan mereka jika dihubungi,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI