PETALING JAYA – “Dia kata nanti hilang aura positif, keuntungan kalau mandi. Bau tengik dia tu memang boleh muntah.”
Demikian luahan seorang wanita mengenai jirannya lelaki warga emas yang didakwa tidak suka mandi pagi sehingga menimbulkan bau kurang selesa kepada orang lain.
“Masalahnya bukan tak nak layan, tapi bau badan dia kuat sangat. Kadang-kadang baru balik kerja, penat nak rehat dulu, tapi dia dah tunggu depan pagar nak sembang,” katanya menerusi catatan di Threads.
Katanya, lelaki tersebut sering berkeliaran di kawasan kejiranan pada awal pagi dan memakai pakaian sama selama beberapa hari.
“Mula-mula kami tak perasan sangat, tapi lama-kelamaan baunya jadi isu. Bau masam, busuk macam binatang mati. Pernah tegur, dia tetap buat tak tahu.
“Dia kata akan mandi dua hingga tiga hari sekali atau ketika kena hujan sahaja. Siap ajak saya ikut petuanya untuk sentiasa sihat dan positif,” katanya.
Tambah wanita itu, jirannya juga gemar berbual lama tanpa berasa serba salah mengganggu masa pihak lain.
“Kalau sekali dua okey, tapi tiap-tiap hari. Ada masa sampai sejam lebih berdiri sembang depan pagar rumah.
“Saya cuba beri alasan nak masuk atau ada kerja, tapi dia buat tak faham. Nak marah, kesian sebab macam ayah sendiri, pak cik itu baik cumanya keadaannya kurang selesa,” tambahnya.
Di ruangan komen, ada yang mencadangkan wanita itu supaya menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) atau pihak berkuasa untuk memberikan khidmat nasihat serta kaunseling kepada lelaki tersebut terutama aspek penjagaan diri.
“Hubungi KKM atau mana-mana pihak, mungkin dia ada masalah mental dan sebagainya. Kadang luar nampak okey, tapi dalaman bermasalah,” cadang Ainnur. – KOSMO! ONLINE