PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf atas kelewatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter lebih 60 minit susulan gangguan bekalan kuasa alat talian atas yang berlaku di antara Kampar dan Slim River, semalam.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, gangguan yang berlaku pada pukul 5.44 petang itu menjejaskan operasi tren di laluan berkenaan apabila hanya satu landasan dapat digunakan secara bergilir bagi menjamin keselamatan operasi.
“Lapan perkhidmatan ETS dan dua KTM Komuter mengalami kelewatan melebihi satu jam,” katanya hari ini.
KTMB telah memaklumkan perkara itu kepada penumpang terlibat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan saluran media sosial rasminya.
“Pasukan elektrifikasi KTMB juga telah digerakkan serta-merta ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dan segala usaha baik pulih telah berjaya diselesaikan sepenuhnya pada pukul 5 pagi dan perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa,” katanya.
KTMB turut menegaskan komitmen mereka dalam menambah baik mutu perkhidmatan demi keselesaan pengguna. -KOSMO! ONLINE