MANCHESTER – Manchester United dilaporkan bersedia untuk menyelamatkan karier bintang Bayern Munich, Joao Palhinha selepas pemain tengah itu bergelut mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama kelab Jerman itu sejak berhijrah dari Fulham.
Menurut sumber, The Red Devils kini meneroka pilihan mendapatkan Palhinha secara pinjaman selepas menyedari sasaran utama mereka, Ederson dari Atalanta memerlukan mereka mengeluarkan dana yang besar.
Palhinha, 29, yang menyertai Bayern pada harga £48 juta (RM288 juta) musim panas lalu, gagal menepati jangkaan di Bundesliga dan kini terbuka untuk berbincang mengenai masa depannya.
Difahamkan, Bayern turut mempertimbangkan untuk melepaskannya secara kekal dengan harga sekitar £30 juta (RM180 juta), namun kontrka pinjaman juga dilihat sebagai pilihan yang relevan.
Situasi itu membuka ruang buat United yang sedang mencari pemain tengah untuk memperkukuhkan barisan tengah selepas hanya memiliki khidmat Casemiro, Kobbie Mainoo dan Manuel Ugarte.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim dilaporkan cukup mengenali gaya permainan Palhinha yang pernah bersinar bersama Fulham, menjadikan perpindahan itu lebih menarik.
Ketika ini, United sudah pun membelanjakan £62.5 juta (RM375 juta) untuk mendapatkan penyerang Wolves, Matheus Cunha menjadikan bajet kelab agak ketat dan memaksa mereka mempertimbangkan pembelian bijak untuk posisi tengah.
Palhinha masih memiliki kontrak hingga 2028 dan menerima gaji mingguan sebanyak £200,000 (RM1.2 juta) seminggu termasuk bonus, sekali gus menjadikan rundingan bakal mencabar buat United. – AGENSI