CALIFORNIA – Ego juara trebel saingan Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) tercalar selepas mengalami kekahan mengejut kepada kelab kurang ternama dari Brazil, Botafogo 0-1 pada aksi Kumpulan B saingan Piala Dunia Kelab semalam.
Pada aksi di Stadium Rose Bowl itu, skuad PSG yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) meletakkan kesebelasan terbaik dengan Desire Doue, Vitinha dan Khvicha Kvaratskhelia mengetuai jentera serangan.
Namun, Botafogo mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri terutama dalam aspek pertahanan apabila mengekang asakan PSG sebelum meraih gol tunggal hasil penyudah Igor Jesus.
Keputusan tersebut menyaksikan PSG berpotensi untuk tersingkir seawal peringkat kumpulan jika tewas pada aksi terakhir bertemu Seattle Sounders, Isnin depan.
Ketua jurulatih Botafogo, Renato Paiva memuji mentaliti pasukan yang tidak gentar dengan status PSG selaku pilihan utama dengan berikan sepenuh jiwa di atas padang.
“Saya rasa kita berjaya bunuh semangat PSG sepanjang perlawanan ini kerana mereka tiada jawapan dengan corak taktikal yang sudah kita rencanakan.
“Pujian wajar diberikan kepada semua pemain yang menyerang bersama-sama dan bertahan dalam satu unit sekali gus menutup ruang untuk lawan melakukan kebangkitan,” katanya. – AGENSI