SEBERANG PERAI – Seramai 46 warga asing diberkas selepas merusuh angkara tidak berpuas hati dengan peraturan baharu yang ditetapkan warden hostel di pekarangan bangunan The Summit Bukit Mertajam di sini, malam semalam.
Kesemua mereka diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya
menerima maklumat terdapat sekumpulan pekerja warga asing berkumpul di hadapan bangunan berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bangunan tersebut telah dijadikan hostel pekerja oleh sebuah syarikat yang beralamat di Bukit Minyak.
“Pihak syarikat telah menetapkan peraturan di mana para pekerja tidak dibenarkan menghisap rokok atau meminum minuman keras semasa berada di kawasan hostel.
“Punca kejadian berkaitan ketidakpuasan hati beberapa pekerja terhadap warden hostel seorang lelaki warga asing yang telah mengutip denda ke atas pekerja-pekerja tersebut jika melanggar peraturan tersebut.
“Peraturan yang ditetapkan itu dikatakan tanpa pengetahuan syarikat dan menyebabkan beberapa pekerja bertindak berkumpul serta merosakkan van syarikat yang diletakkan di hadapan bangunan,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi, kesemua 46 tangkapan kini ditahan reman sehingga empat hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang memaparkan sekumpulan warga asing merusuh di hadapan bangunan di Bukit Mertajam. -KOSMO! ONLINE