BANGKOK – Sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk dua anggota polis cedera dalam tiga letupan bom berasingan di sebuah pameran tahunan di wilayah Pattani, selatan Thailand, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Ketua Balai Polis Muang Pattani, Jeffey Saimanakul berkata, pasukan polis dan unit pemusnah bom dikerahkan ke pameran Palang Merah Pattani 2025 di daerah Muang selepas menerima aduan.
Siasatan awal mendapati bom pertama meletup sekitar pukul 4.44 pagi (waktu tempatan) di pondok keselamatan berhampiran pintu masuk Pejabat Pelancongan dan Sukan wilayah Pattani.
Bom kedua dan ketiga meletup kira-kira 400 meter dari lokasi pertama. Bahan letupan itu disembunyikan di dalam lampu jalan berhampiran khemah.
Letupan merosakkan dua tiang elektrik dengan kesan darah merata-rata di atas jalan.
“Tujuh orang termasuk lima peniaga dan dua anggota polis cedera dalam serangan itu. Semua mangsa dirawat di Hospital Pattani dan berada dalam keadaan stabil.
“Semasa kejadian, kebanyakan peniaga sedang tidur atau berehat di gerai atau khemah mereka,” kata Saimanakul.
Ketua Polis Pattani, Santhat Chuephuttan berkata, siasatan mendapati sekurang-kurangnya 5 hingga 10 suspek terlibat dalam serangan bom itu.
Pihak berkuasa mengepung kawasan terbabit dan mengerahkan pasukan forensik serta penyiasat untuk meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi menangkap suspek. – AGENSI