SEBERANG PERAI – Pemandu kereta jenis Perodua Kelisa yang tular dikejar dengan dua buah kereta peronda polis (MPV) di Jalan Bagan Dalam Butterworth di sini, hari ini rupa-rupanya positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, laporan diterima dari Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) berhubung kejadian menghalang penjawat awam ketika bertugas, kira-kira pukul 1.25 pagi tadi.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam semalam setelah pihak polis mengesan sebuah kereta yang mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Pihak polis telah mengarahkan kereta itu berhenti sebanyak tiga kali dengan memasang lampu becon dan siren namun gagal berikan kerjasama serta terus melarikan diri.
“Suspek diberkas di hadapan Flat Ampang Jajar, Butterworth. Polis menjumpai satu plastik lut sinar di dalamnya berisi bahan disyaki syabu.
“Suspek juga didapati positif methamphetamine. Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 23 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1) (a) akta yang sama.
Katanya, hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau berhubung kes dadah.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 38 saat di media sosial Facebook memaparkan dua MPV mengejar sebuah kereta Perodua Kelisa yang dirakam pengguna di lokasi kejadian.
Menerusi video tersebut, kereta Perodua Kelisa itu dilihat dipandu secara laju dan bertindak membuat pusingan U di tengah jalan selain sempat memberi isyarat signal. – KOSMO! ONLINE