PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan Perang Dunia Ketiga akan berlaku.
Menurut beliau, negara seperti United Kingdom (UK) ketika ini sedang memperkuatkan aspek ketenteraan.
“Saya khuatir ada usaha-usaha untuk mencetuskan Perang Dunia Ketiga. UK umpamanya sudah adakan lima kilang senjata baharu dan akan membina 12 kapal selam perang.
“Jadi mereka sudah bersedia untuk berperang,” katanya menerusi sesi podcast berkenaan perang Israel-Iran yang disiarkan di media sosial hari ini.
Mahathir berkata, beliau masih ingat sekitar tahun 1929 hingga 1930 terdapat cerita-cerita mengenai perang dan akhirnya kejadian itu berlaku.
Kata beliau, ketika itu Jerman dan British mengambil tindakan dan akhirnya perang berlaku kerana Eropah percaya tindakan tersebut satu cara untuk menyelesaikan masalah.
“Mereka juga sedar perang tidak selesaikan masalah, sebab itu mereka mencadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan perang.
“Tetapi buat PBB bagi kepada mereka kuasa veto. Itu bukan PBB, tapi satu pemerintahan diktator mereka yang kuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE