IPOH – Kediaman keluarga mentua kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang terbakar di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini malam tadi, mengalami ‘trip elektrik’ sebelum terbakar.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 malam itu, ibu mentua Hamzah, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, maut di lokasi kejadian manakala suaminya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, pula sesak nafas.
Anak kedua mangsa, Ahmad Ikhwan Abdul Ghani, 57, berkata, adik bongsunya yang tinggal di kediaman tersebut juga memberitahu melihat asap tebal keluar dari bilik ibunya.
“Berdasarkan cerita adik, berlaku trip elektrik dan rumah tiba-tiba blackout (terputus bekalan eletrik). Dia keluar sekejap untuk lihat rumah jiran sama ada blackout juga atau tidak.
“Apabila dia masuk semula ke dalam rumah, dia perasan ada asap keluar dari bilik mak dan bila buka sahaja pintu, bilik itu telah dipenuhi asap tebal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Salmiah dibawa ke Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya selepas solat Jumaat. – KOSMO! ONLINE