PETALING JAYA – Keluarga penunggang motosikal yang parah dalam kemalangan langgar lari di Jalan Cheras, Kuala Lumpur awal pagi Ahad lalu merayu orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian pukul 1.50 pagi itu, Muhammad Luqman Hakim Mohd Rajis, 21, dilanggar sebuah motosikal yang dipercayai memotong secara melulu di kawasan berhampiran pusat beli-belah Eko Cheras.
Menurut abangnya, Muhamad Nasrul Hakim, 27, adiknya menunggang motosikal secara berasingan bersama jiran dan tunangnya untuk keluar makan di sekitar ibu negara.
“Jiran saya beritahu sekumpulan penunggang motosikal antara enam dan tujuh orang memotong di tengah laluan. Salah seorang daripada mereka melanggar motosikal adik saya.
“Akibat pelanggaran itu, adik saya hilang kawalan dan terjatuh. Jiran sempat menekan brek dan cuba memberikan bantuan dengan menghubungi ambulans,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, nombor pendaftaran motosikal itu bagaimanapun tidak sempat dirakam, namun dipercayai jenis Yamaha LC.
Muhammad Luqman kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Mangsa berada dalam keadaan separa sedar selepas menjalani pembedahan ekoran pendarahan di kepala.
“Tangan dan kaki adik saya cedera teruk akibat diseret. Saya sangat berharap ada pihak yang tampil memberikan maklumat atau rakaman dashcam (rakaman kamera papan pemuka).
“Saya difahamkan terdapat beberapa buah kereta berhenti di lokasi ketika kejadian. Mungkin mereka melihat apa yang berlaku,” ujarnya.
Menurut Nasrul, laporan berhubung kemalangan itu dibuat di Balai Polis Trafik HS Lee, Kuala Lumpur.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka diminta menghubunginya di talian 017-385 2415. – KOSMO! ONLINE