KUALA LUMPUR – Pelakon filem Misteri Fraser 1910, Josiah Hogan akui tidak masuk campur tentang konflik di antara pengarah filem tersebut, Shuhaimi Zulkefli bersama pihak penerbit, Elani Aidid dan Amai Kamarudin.
Menurut Josiah atau nama sebenarnya Josiah Padilla Hogan, 39, dia senang bekerjasama dengan Shuhaimi dan antara sebab dia menerima tawaran untuk membintangi filem tersebut adalah kerana pengarah itu.
“Saya adalah dengar mengenai konflik yang terjadi di antara mereka. Tetapi saya tak mahu campur. Itu masalah mereka.
“Sejujurnya saya terima watak ini adalah disebabkan pengarah. Saya dah lama nak bekerjasama dengan Shuhaimi.
“Pelakon asal untuk membawakan watak Mr. Fraser bukan saya. Dia digugurkan atas sebab-sebab tertentu. Bila saya dengar tentang masalah itu, saya ‘step in’ untuk membantu,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Misteri Fraser 1910, baru-baru ini.
Ditanya tentang ketiadaan pengarah pada majlis tayangan perdana filem tersebut serta namanya diletakkan di bahagian bawah poster, Josiah menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu yang memeranjatkan.
“Apa yang saya diberitahu setiap kali saya terlibat dengan penggambaran, pengarah ini ibarat ‘tuhan’ dalam sebuah filem. Dalam ‘frame’ itu adalah dunia dia. Dia boleh wujudkan, hilangkan, hidupkan dan matikan,” jelasnya.
Terdahulu konflik di antara pengarah dan penerbit filem Misteri Fraser 1920 iaitu Millionaire Films tercetus selepas pengarah itu membuat hantaran menuduh pihak produksi gagal melunaskan bayaran gaji kru sehingga menyebabkan filem itu ditangguhkan.
Susulan itu, pihak penerbit terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Shuhaimi selepas permintaan mereka untuk dia memadamkan hantarannya tidak diendahkan.
Selain Josiah, Misteri Fraser 1910 yang turut dibintangi Siti Hariesa, Amai Kamarudin dan Isyariana akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Jun 2025. KOSMO! ONLINE.