fbpx

Pekebun beri dadah sebelum ‘sentuh’ remaja OKU dijel 11 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD SHAH ZAILAN dipenjara 11 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini.

MUAR – Lelaki yang dituduh melakukan persetubuhan di luar tabii termasuk meliwat remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) selepas diberi dadah, dipenjara 11 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Shah Zailan Fikri Abdullah, 25, dengan mengambil kira pengakuan bersalah serta rayuan dikemukakan tertuduh yang juga bapa seorang anak.

Tertuduh bekerja kebun berhadapan dua pertuduhan iaitu meliwat serta melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa berusia 19 tahun di sebuah inap desa dalam daerah ini, antara pukul 2 hingga 4 pagi, 7 Jun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala enam tahun dan satu sebatan untuk pertuduhan kedua dengan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh baru mengenali mangsa melalui aplikasi sosial sebelum mereka berjumpa.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke sebuah inap desa dan remaja itu diberi dadah jenis syabu hingga membuatkannya berada dalam keadaan khayal.

Kesempatan itu diambil tertuduh dan pada masa sama, lelaki itu turut mengajak seorang lagi rakan ke inap desa terbabit untuk melakukan perkara sama ke atas mangsa.

Susulan kejadian itu, laporan polis dibuat terhadap tertuduh sebelum ditahan 11 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI