SHAH ALAM – Kegagalan pam air berfungsi dikatakan menjadi antara punca banjir kilat di kawasan perumahan Taman Bukit Kemuning di sini.
Situasi tersebut berlaku dipercayai akibat litar pintas susulan banjir tersebut.
Ketua Bomba Zon Shah Alam, Ahmad Zaidi Safuan berkata, terdapat 180 unit rumah terlibat dengan bergantung kepada pam untuk mengalirkan air keluar dari kawasan ini.
“Jika diperhatikan, jalan utama tidak dinaiki air, namun banjir tetap berlaku di sebahagian kawasan.
“Ini menunjukkan bahawa pam saliran tidak berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air dari parit di hadapan taman ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mempercepatkan proses mengeluarkan air.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati kedua-dua pam air di lokasi tersebut mula berfungsi pukul 2.30 petang dengan air banjir akan disalirkan ke Sungai Rasau.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Junainah Johan berharap pam air tersebut dapat berfungsi lebih efektif dalam mengelakkan insiden banjir kilat seperti ini.
“Tadi cuma satu sahaja pam berfungsi. Kalau dua-dua berfungsi sudah tentu air tidak naik sebegini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE