SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam proses menyiapkan kertas siasatan terhadap pengendali syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak, 9 Jun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kertas siasatan berkenaan kini berada di peringkat akhir untuk dilengkapkan.
“Ada dua kertas siasatan yang sedang kita siapkan iaitu (tindakan) ke atas pengendali syarikat dan juga syarikat yang memajak bas terbabit.
“Dijangka kedua-dua kertas siasatan itu akan diserah kepada pihak pendakwaan (DPP) dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, JPJ akan membuka kertas siasatan susulan kegagalan syarikat berkenaan beroperasi mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung dakwaan JPJ tidak dapat merekod kenyataan pengusaha syarikat bas kerana diserang sakit jantung, Aedy Fadly berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Kalau dia (pengusaha bas) kena heart attack, isu itu tak ada kaitan dengan JPJ dan saya juga tak terima apa-apa laporan mengatakan begitu. Kita akan tetap ambil tindakan, kalau dia masuk hospital kita akan tunggu,” katanya. – KOSMO! ONLINE