fbpx

‘Mungkin serang,mungkin tidak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISRAEL memintas misil Iran di Tel Aviv, kelmarin. - Foto AFP

WASHINGTON – Presiden Do­nald Trump meluluskan ranca­ngan untuk menyerang Iran, lapor saluran berita CBS kelmarin, memetik sumber perisikan dan pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Mereka bagaimanapun berkata, Trump belum membuat keputusan muktamad sama ada untuk mengaktifkan serangan atau secara rasmi menyertai kempen udara tentera Israel menyerang Tehran.

Menurut mereka, Trump akan menangguhkan keputusannya untuk melancarkan serangan jika Tehran bersetuju membatalkan program nuklearnya.

Berita itu pertama kali dilaporkan oleh akhbar The Wall Street Journal.

Setakat ini, White House tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.

Pada Selasa lalu, CBS News melaporkan bahawa Trump sedang menimbang untuk me­lakukan serangan ke atas sebuah kemudahan pengayaan uranium bawah tanah Fordow dekat bandar Qom di Irael.

Israel tidak melakukan sebarang serangan ke atas Fordow selepas Tel Aviv mula mengebom kemudahan nuklear Nantaz di wilayah Isfahan dan sasaran tentera Iran yang lain, Jumaat lalu.

Trump memberi­tahu pemberita kelmarin bahawa beliau belum membuat keputusan muktamad sama ada untuk menye­rang Iran.

“Saya suka membuat keputusan mukta­mad sedetik sebelum ia berlaku kerana keadaan berubah, terutamanya ketika peperangan.

“Saya mungkin melakukannya. Saya mungkin tidak melakukannya. Maksud saya, tiada siapa yang tahu apa yang saya akan lakukan,” kata Trump.

Trump juga berkata, beliau mahu Iran berunding mengenai perjanjian untuk menamatkan program nuklearnya.

Iran yang telah lama menegaskan program nuklear itu wujud semata-mata untuk tujuan aman berkata kelmarin bahawa Tehran tidak akan berunding di bawah tekanan.

Sebaliknya, Iran akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman ke atas negaranya.

Menurut seorang pegawai pe­risikan AS dan pegawai Pentagon, Iran telah menyediakan bekalan peluru berpandu dan peralatan senjata lain untuk melakukan serangan ke atas pangkalan AS di Asia Barat.

Serangan besar-besaran akan dilancarkan sekiranya AS menyertai kempen Israel untuk menyerang Iran, kata mereka ketika memberikan taklimat me­ngenai perkara tersebut.

Sebelum ini, pentadbiran Trump telah menyatakan secara terbuka ia tidak mahu mengambil bahagian dalam serangan ke atas Iran.

Kenyataan itu dibuat walaupun CBS News melaporkan bahawa AS pernah membantu Israel memintas serangan peluru berpandu dari Iran.

Sejak beberapa hari lalu, Trump tidak menolak rancangan untuk menyertai kempen serangan udara tentera Israel dengan menulis di platform sosial miliknya Truth Social : “Kesabaran semakin menipis.”

Pada Selasa lalu, beliau berkata, AS mengetahui di mana pe­mimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei bersembunyi.

“Beliau adalah sasaran mudah. Kami tidak akan membawa­nya keluar (bunuh), sekurang-kurangnya tidak buat masa ini,” tulis Trump di Truth Social.

Pada Ahad lalu, CBS News melaporkan Trump menentang rancangan Israel untuk membunuh Khamenei. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN